Pada hari ini kita akan membincangkan tentang berkaitan dengan kaum wanita. Perkara yang tidak boleh lari dari wanita itu berkenaan dengan pemakaian tuala wanita. Seperti yang kita tahu tuala wanita bersifat sebagai bahan penyerap oleh wanita apabila didatangi haid, darah nifas, selepas keguguran atau menjalani pembedahan anggota peranakan dan mengelakkan darah mengalir keluar lebih banyak daripada faraj. Dalam tempoh terkini, kebanyakan tuala wanita yang biasa diguna pakai adalah tuala pakai-buang dan diperbuat daripada kapas serta rayon. Bahan yang ada di tengah-tengah tuala jenis ini mempunyai daya serapan yang kuat dan akan bertindak menjadi gel apabila ia menyerap cecair.
Namun, di sebalik kecanggihan teknologi daya serapan tuala pakai-buang, ramai tidak menyedari bahan berwarna putih jernih ini terlebih dulu diproses menggunakan campuran kimia seperti bahan pemutih (bleaching agent), nyahkuman menggunakan bahan disinfektan dan ada antaranya di tambah pewangi bertujuan menutupi bau tidak dikehendaki.
Semasa pembuatan rayon daripada pulpa kayu pula, ada juga bahan kimia dioxin dilepaskan menyebabkan ada sesetengah wanita terpaksa menghadapi masalah alahan dan keradangan pada bahagian vulva serta faraj.
Berikut disenaraikan beberapa kesan sampingan yang mungkin terjadi akibat pemakaian tuala wanita;
1. Alahan kepada bahan kimia yang ada pada tuala wanita boleh terjadi, tanpa mengira tempoh pemakaian sama ada jangka masa pendek atau lama. Ia digelar `irritant contact dermatitis’ atau keradangan pada kulit. Simptom utama adalah gatal, rasa panas terbakar dan bengkak pada alat kelamin. Tanda seperti ruam yang kadangkala berair, kulit merah dan melecet dan lelehan faraj berlebihan juga kesan alahan.
2. Radang pada alat kelamin iaitu sekitar vulva akibat sensitiviti terhadap bahan terkandung pada tuala wanita dipanggil `vulvitis’.
Tandanya adalah rasa tidak selesa, panas pada kulit luar dan mungkin kegatalan.
Radang boleh terjadi jika pemakai memakai tuala wanita dalam jangka masa lama.
3. Melecet pada kulit luar alat kelamin akibat geseran antara tuala dan kulit semasa berjalan atau bergerak.
Situasi ini mudah berlaku sekiranya anda tergolong dalam kategori kulit kering. Tanda yang timbul ialah rasa sakit atau tidak selesa dan pedih apabila terkena air.
4. Jangkitan kuman di vulva dan vagina adalah komplikasi teruk daripada masalah di atas.
Memakai tuala wanita terlalu lama menyebabkan bakteria membiak dengan cepat dan banyak di atas tuala wanita seterusnya mengakibatkan jangkitan pada vulva dan vagina. Sekiranya berpanjangan, jangkitan kulat mungkin terjadi. Tanda jangkitan kuman adalah sakit, bengkak, kulit melecet, berair atau bernanah dan lelehan faraj berlebihan.
No comments:
Post a Comment